JANGAN BELI RUMAH KALAU BELUM TAHU 5 PERKARA NI!

PERKARA YANG PERLU DIAMBIL KIRA SEBELUM MEMBELI KEDIAMAN

1. Buat penyelidikan menyeluruh.
Melainkan kediaman di sesuatu kawasan telah dikenalpasti untuk dimiliki, pembeli disarankan membuat “homework” berkenaan kediaman yang ingin dimiliki. Ini termasuklah apa yang ditawarkan di kediaman tersebut dan kemudahan-kemudahan yang ada di persekitarannya. Contohnya pengangkutan awam, tempat beribadat, sekolah dan kawasan membeli barangan keperluan.

Bagi para pelabur pula, faktor-faktor seperti kemudahan serta daya tarikan utama sesuatu kawasan perlu diambil kira (berdekatan kolej dan hospital contohnya), inilah yang dipanggil “Booster”.

Ini semua boleh membantu para pembeli membuat keputusan yang lebih mudah sekiranya menemui kediaman yang sesuai dengan bajet kelak.

2. Geran Master atau Individual/Strata
Untuk mengelakkan dari sebarang kejutan, pembeli hendaklah mengambil tahu status title atau geran sesebuah hartanah tersebut. Proses jual/beli adalah lebih mudah dan cepat sekiranya geran adalah pada status individu/strata.

Ini bukanlah bermakna hartanah yang masih dengan geram master tidak boleh dibeli, cuma prosesnya akan melibatkan kos tambahan untuk “direct transfer” atau masa tambahan untuk penukaran nama secara biasa (pemaju – pemilik asal – pembeli).

3. Semak kelayakan pinjaman – ketahui kelayakan sebelum memilih hartanah
Orang awam boleh menyemak kelayakan pinjaman yang boleh diberi oleh bank untuk tujuan pembelian hartanah. Ini boleh dilakukan sendiri dengan menghubungi bank-bank ataupun boleh dirujuk untuk dibantu oleh perunding hartanah.
Dengan mengetahui kelayakan pinjaman, bajet yang diletakkan akan lebih realistik dan risiko pinjaman ditolak adalah kurang.

4. Menyediakan wang pendahuluan yang mencukupi
Pembeli disarankan agar menyediakan wang pendahuluan yang mencukupi supaya tiada tangguhan dalam proses jual/beli hartanah.

Kos yang lazim dalam pembelian hartanah sub-sale ialah wang pendahuluan sebanyak 10% dari harga jualan, serta 5% (maksimum) untuk fi perundangan yang merangkumi fi perundangan untuk pinjaman bank dan perjanjian jual/beli (SPA).

Disamping itu, pembeli juga boleh mempertimbangkan pengeluaran KWSP mengikut kelayakan dan skim rumah pertama yang ditawarkan beberapa bank. Ini boleh membantu meringankan beban pembeli yang layak.

5. Gunakan khidmat perunding hartanah berdaftar
Adalah amat penting khidmat perunding hartanah berdaftar digunakan dalam sebarang proses jual/beli hartanah. Perunding hartanah berdaftar bernaung di bawah Ejen Hartanah yang di beri lessen oleh LPPEH (Lembaga Penilaian Pentaksir dan Ejen Hartanah), dan segala tindakan mereka termaktub dibawah kawal-selia LPPEH. Dengan perunding hartanah berdaftar, hak anda sebagai pembeli akan terjaga dan akan terlindung dari penyelewengan dan penipuan.

Sebagai pembeli, anda juga tidak dikenakan sebarang bayaran yang dikenakan untuk khidmat seorang perunding hartanah berdaftar.

Akhir kata, membeli sebuah kediaman idaman atau hartanah bukanlah perkara yang kecil. Buatlah perkara yang bijak dan selamat memiliki kediaman idaman anda.