Debt Servicing Ratio (DSR)

Hari ni kita cerita lagi berkenaan DSR. Benda apa DSR ni sebenarnya?

DSR atau Debt Servicing Ratio ni adalah peratusan komitmen berbanding pendapatan. Maksudnya daripada gaji yang kita dapat, berapa banyak pula kita peruntukkan untuk membayar hutang.

DSR ni adalah benda pertama yang bank tengok sebelum meneruskan untuk memproses permohonan pinjaman kita, kalau DSR tak lepas, memang permohonan akan ditolak.

Peratus DSR yang diambil kira berbeza dengan setiap bank, ada yang tinggi ada yang rendah. Kalau nak selamat, pastikan DSR kita berada dalam lingkungan 60% je dari gaji bersih kita. Nampak tak, dalam bahasa mudahnya, dari gaji bersih yang kita dapat setiap bulan, jumlah yang kita guna untuk bayar hutang mesti tak lebih dari 60%.

Dari sudut lain, maknanya kita ada 40% dari gaji kita untuk digunakan dalam urusan seharian, makan pakai semua. Cuba bayangkan, kalau DSR dah sampai 80% ke 90%, nak makan apa pula nanti? Bukanlah bermakna bank peduli sangat kita makan atau tidak, yang mereka risaukan sebenarnya adalah kebolehan kita untuk membayar ansuran bulanan.

Boleh ke kira DSR sendiri? Boleh sangat, sebagai anggaran. Gaji bersih yang kita dapat, lepas tolak potongan wajib macam EPF, Socso dan cukai tu, letak setempat. Lepas tu, kira pulak jumlah komitmen atau hutang yang kita kena bayar dalam sebulan, kereta, kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan semua tu. Dah dapat tu bahagikan lah dengan gaji bersih tadi, dapatlah DSR.

Tapi hati-hati ye, kalau dengan hutang yang dah sedia ada pun DSR dah 60% ke 70%, memanglah tak lepas juga permohonan, sebab bila tambah hutang baru, dah tentu lah akan naik peratusan tu, berbalik lah semula pada soalan, nak makan apa pula nanti?

Cara nak turunkan peratusan? Tambahlah pendapatan.

Perlu di ingat, DSR ni salah satu faktor je yang bank tengok untuk meluluskan pinjaman. Ada lagi perkara lain macam pendapatan tetap yang stabil, skor kredit, dan ketepatan masa dalam membayar komitmen bulanan.